Followers

Showing posts with label kosmo. Show all posts
Showing posts with label kosmo. Show all posts

Tuesday, April 12, 2011

Dakwaan telur tiruan tidak benar

PERBEZAAN dua jenis kuning telur dari telur ayam yang berlainan gred


PUTRAJAYA – Kebimbangan orang ramai terhadap kewujudan telur ayam tiruan sejak seminggu lalu berakhir apabila ujian terhadap sampel telur ayam didakwa tiruan yang dirampas di sebuah pasar di Pulau Tikus, Pulau Pinang mendapati ia adalah telur tulen.
Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, ujian itu dilakukan melibatkan kandungan telur berkenaan serta kulitnya.
Beliau bagaimanapun berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati terdapat keganjilan pada telur-telur terbabit termasuk aspek fizikalnya yang bersaiz besar dan ia tidak sesuai dijual kepada pengguna.
“Mengikut kajian, apa yang ditakrifkan sebagai telur tiruan seperti yang didakwa oleh CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang) ialah telur itu luar biasa dari segi saiz sama ada besar dan tidak mempunyai bentuk bulat telur.
“Justeru, orang ramai tidak perlu bimbang terhadap ketulenan telur di pasaran dan ia di dalam pengawasan serta tindakan pihak kerajaan,” katanya pada sidang akhbar mengenai isu telur tiruan di ibu pejabat jabatan itu di sini semalam.

Friday, April 8, 2011

Guru retak batang hidung ditumbuk pelajar

KANGAR - Seorang guru cedera di bahagian hidung setelah ditumbuk oleh seorang pelajar ketika cuba mendapatkan penjelasan mengenai satu kes pergaduhan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Jaafar Hassan, Padang Besar dekat sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, guru tersebut, Mariati Matail, 37, retak pada batang hidung akibat ditumbuk oleh pelajar tingkatan dua berkenaan di koridor bangunan sekolah itu.
Ketika kejadian, Mariati yang mengajar subjek Sejarah terserempak dengan pelajar terbabit yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan pelajar lain.
"Saya panggil pelajar itu dan mahu membawanya ke bilik guru untuk mendapatkan penjelasan mengenai pergaduhan itu.
"Bagaimanapun dalam perjalanan ke bilik itu, tiba-tiba dia menumbuk hidung saya," katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini semalam.
Akibat tumbukan tersebut, hidung Mariati berlumuran darah dan dia kemudian bergegas ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke HTF.
Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Wednesday, June 30, 2010

Protozoa penyebab cirit-birit


CUKUP menakutkan apabila parasit halus menjadikan tubuh manusia sebagai perumah tanpa kita disedari.

Jika dahulu masyarakat sering didedahkan dengan bahaya cacing tularan tanah seperti cacing gelang, cacing cambuk, cacing kait dan cacing benang, kini jangkitan protozoa juga tidak harus dipandang ringan.

Malah, bagi mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, kehadiran parasit daripada pelbagai jenis terutama protozoa menjadikan keadaan lebih serius.

Menurut Pakar Parasitologi dan Kesihatan Masyarakat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datin Dr. Norhayati Moktar, perkara ini bukan sesuatu yang baru dalam penyelidikan berkaitan parasit yang menjadi ancaman kepada kesihatan manusia.

“Bagi pesakit AIDS atau kanser yang sedang menjalani rawatan kimoterapi, kebarangkalian untuk dijangkiti parasit usus adalah agak tinggi,” katanya.



selanjutnya...


SELAIN usus besar, hati, limpa dan paru-paru sering menjadi perumah parasit jangkitan usus.

Tuesday, June 29, 2010

Gadis 21 tahun jadi doktor


LONDON - Rachael Faye Hill yang baru berusia 21 tahun mencipta sejarah apabila dia menjadi doktor paling muda di Britain selepas memperoleh ijazah sarjana muda bidang perubatan daripada Universiti Manchester pada 14 Julai depan, lapor sebuah akhbar semalam.

Rachael 'merampas' gelaran itu daripada Heenal Raichura yang berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti St. George pada tahun 2008 ketika berusia 22 tahun.

Kebanyakan institusi pendidikan tidak akan menerima pelajar memasuki bidang perubatan sehingga pemohon berusia 18 tahun.

Tempoh pengajian pula memakan masa selama enam tahun menyebabkan graduan bidang itu biasanya berusia 23 atau 24 tahun.

Namun, Rachael dibenarkan untuk mengikuti pengajian perubatan hanya beberapa minggu selepas ulang tahun kelahiran ke-17.

Tidak lama lagi, Rachael akan memulakan latihan selama dua tahun di Hospital Royal Preston.

"Ibu saya merupakan seorang doktor veterinar. Tetapi saya rasa lebih sesuai membantu manusia. Akhirnya saya memohon menyertai sekolah perubatan di England ketika berusia 15 tahun," jelasnya.

Pada mulanya, Rachael belajar di Kolej Colegio Hispano Britanico di Lanzarote sebelum guru-gurunya mengenal pasti potensi dan membenarkannya untuk 'lompat kelas' selama beberapa tahun. - Agensi

Wednesday, June 23, 2010

Harga buah-buahan dijangka naik 50%


Kosmo

TASEK GELUGOR - Harga buah-buahan tempatan bermusim dijangka naik sehingga 50 peratus disebabkan jumlah pengeluaran merosot hampir separuh berbanding tahun lalu.


Pengarah Kanan Urus Niaga Segar, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Ahmad Ishak berkata, kemerosotan buah-buahan seperti durian, rambutan, manggis, duku dan cempedak itu disebabkan faktor cuaca panas melampau yang berlarutan untuk tempoh yang panjang.

Menurut beliau, hanya 80,000 tan metrik buah-buahan tempatan bermusim dijangka dapat dikeluarkan tahun ini berbanding 150,000 tan metrik pada tahun lalu.

"Kita jangkakan tahun ini harga buah-buahan bermusim akan meningkat sekitar 50 peratus disebabkan faktor pengeluaran yang berkurangan kesan daripada fenomena El Nino," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Program Ladang Kontrak antara FAMA dengan pengusaha ladang rambutan dan tembikai di Kompleks Pengumpulan Ladang Kampung Selamat di sini semalam.

Pada majlis itu, FAMA diwakili oleh Pengarah Wilayah Utara, Mohd. Ariffin Awang. Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin.

Menurut Ahmad, walaupun pada dasarnya kenaikan harga hasil pertanian itu di pasaran bakal memberi kebaikan kepada pengusaha ladang dan petani tetapi FAMA akan tetap memantau kenaikan harga tersebut agar tidak membebankan pengguna menerusi pelan pemasaran buah-buahan bermusim.